
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Amalina Shazwani Suhaimi (Pulau Pinang)
GEORGE TOWN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang mula disalurkan oleh kerajaan memberi kelegaan kepada rakyat pelbagai latar belakang, kaum dan peringkat usia khususnya menjelang musim perayaan dan bulan Ramadan.

Muhammad Rahimi (kanan), menyifatkan bantuan SARA amat bermakna kepada pelajar menjelang Ramadan.
Pelajar Institusi Pengajian Tinggi, Muhammad Rahimi Mohd Raduan, 25, menyifatkan bantuan itu sebagai rezeki yang amat bermakna untuk persiapan menyambut bulan puasa.
“Alhamdulillah, bantuan SARA ini sangat membantu saya membuat persiapan bekalan makanan untuk bulan Ramadan nanti. Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan keperluan pelajar seperti kami,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Sementara itu, Lau Teong Lam, 58, turut meluahkan rasa syukur kerana bantuan tersebut dapat digunakan untuk keperluan dapur menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Lau Teong Lam, bersyukur dapat guna SARA untuk keperluan sambutan Tahun Baru Cina.
“Sekarang sudah boleh beli barang sejuk beku guna SARA, jadi saya boleh beli pelbagai keperluan dapur untuk sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga,” ujarnya.
Selain itu, penerima suri rumah, Pushpa Suppiah, 52, berkata bantuan ini sangat bermakna untuk keluarganya.
“Meskipun sedikit, sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit perbelanjaan dapur dan keperluan anak-anak,” katanya.
Seorang penjawat awam, Khairunnisa Mohamad Yussoff, 28, turut menyatakan penghargaan terhadap inisiatif tersebut yang sedikit sebanyak meringankan beban kos sara hidup.

Pushpa, berkata meskipun nilainya kecil namun bantuan SARA sangat bermakna buat keluarganya.
“Walaupun saya bekerja, bantuan ini tetap memberi manfaat untuk perbelanjaan seharian. Ia juga membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan ekonomi tempatan,” katanya.
Majoriti penerima menyifatkan bantuan ini sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Inisiatif SARA yang disalurkan secara sekali beri kepada 22 juta pemegang MyKad berusia 18 tahun ke atas ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
-RI





