Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Gerawat Gala Saksikan Penyerahan Jalan Marudi-Mulu

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ting Ah Tai (Marudi)/UKAS

MARUDI, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Pembinaan jalan menerusi Pakej 2, Fasa 1 Projek Jalan Marudi–Mulu (Kuala Melinau) di bawah Projek Jalan Raya Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (MMMLL Road) penting dalam meningkatkan jaringan perhubungan darat ke kawasan pedalaman.

Pelaksanaan Pakej 2 melibatkan pembinaan jajaran sepanjang 6.2 kilometer (km) dari Poyut ke Sungai Selejau dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan projek Jalan Marudi–Mulu dapat dilaksanakan secara berperingkat dan tersusun mengikut perancangan ditetapkan.

Simbolik penyerahan projek Jalan Marudi-Mulu(Kuala Melinau) dibawah projek MMMLL RECODA oleh Gerawat Gala (tengah) kepada Kontraktor Sarawork Sdn Bhd.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata selain memudahkan pergerakan penduduk setempat, projek berkenaan akan turut menyokong pembangunan sektor pelancongan serta pemeliharaan kawasan berstatus antarabangsa secara lebih mampan.

“Jajaran jalan sepanjang 74km dari Marudi ke Mulu ini akan menghubungkan kawasan pedalaman khususnya ke Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).

“Ia turut akan berhubung dengan Sabah–Sarawak Link Road Fasa 2, sekali gus mewujudkan rangkaian perhubungan darat yang lebih menyeluruh antara Sarawak dan Sabah,” katanya selepas menyaksikan majlis ringkas penyerahan projek berkenaan, di sini semalam.

Kerja pembinaan Jalan Marudi–Mulu (Kuala Melinau) kini giat dilaksanakan bagi meningkatkan jaringan perhubungan darat ke kawasan pedalaman termasuk Taman Negara Mulu di Marudi.

Selain itu, pembinaan jalan berkenaan juga dijangka membuka akses ke beberapa penempatan utama termasuk Long Ukok, Long Linei dan Long Panai yang selama ini berdepan cabaran perhubungan darat.

Dalam pada itu, Gerawat menuntut komitmen penuh daripada pihak kontraktor bagi memastikan projek reka dan bina tersebut dapat disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi ditetapkan demi menjamin kualiti terbaik untuk rakyat.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya di kawasan Marudi dan Mulu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda