
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Pentadbiran kerajaan negeri Selangor bakal melakukan anjakan paradigma dengan memperkukuh perkhidmatan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah sepanjang tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan kualiti hidup rakyat terpelihara melalui pemantauan rapi terhadap kerja harian seperti kutipan sampah, keadaan jalan raya dan fasiliti awam termasuk hentian bas serta dewan masyarakat.

Amirudin dan isteri ketika acara Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Selayang.
“Kita akan lakukan perubahan ini dengan bersungguh-sungguh. Walaupun ramai penjawat awam telah bekerja keras, namun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki demi keselamatan dan keselesaan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Gombak di Selayang Baru, di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai prestasi negeri, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak memaklumkan Selangor kekal sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mencatatkan nilai ekonomi melebihi RM400 bilion.
Menurutnya, kejayaan itu disokong oleh momentum pelaburan yang kukuh, di mana pada tahun 2024 Selangor mencatatkan sejarah dengan pelaburan RM100 bilion, manakala sehingga September 2025, angka tersebut mencecah RM51 bilion.

Kelihatan salah seorang pengunjung Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Gombak sempat berswafoto bersama Amirudin.
“Pelaburan ini telah mencipta lebih 43,000 peluang pekerjaan sehingga September tahun lalu, dengan sebahagian besarnya menawarkan gaji berpendapatan tinggi kepada rakyat,” jelasnya.
Selain prestasi negeri, beliau turut menarik perhatian mengenai kestabilan ekonomi nasional di bawah Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, ketegasan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah telah meningkatkan keyakinan pelabur global.
“Hasil daripada kestabilan dan konsistensi dasar, nilai ringgit kita kini mengukuh pada kadar RM3.92 berbanding USD1, satu pencapaian yang gagal kita capai sepanjang 10 tahun yang lalu,” ujarnya.
-RI





