Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Karnival Jerami Castle Yan Tarik Perhatian Pelancong Sempena Tahun Pelancongan Kedah 2026

By 16 Februari 2026Februari 17th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus (Yan)

YAN, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Karnival Jerami Castle yang berlangsung dari 13 hingga 15 Feb di Kampung Ulu Sedaka, di sini berjaya menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah menerusi pameran 18 arca jerami kreatif hasil warga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kedah dan Perlis sempena Tahun Pelancongan Kedah 2026 di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Mohd Khairul Nizam dari PPK Seri Pantai.

Program tahunan itu menghimpunkan karya seni berasaskan jerami yang menampilkan kreativiti tinggi serta nilai estetika tersendiri, sekali gus memperkukuh sektor agropelancongan negeri.

Penganjuran karnival ini bertujuan mempromosikan potensi pertanian sebagai produk pelancongan baharu di Kedah selain memberi ruang kepada peladang mengetengahkan bakat dan inovasi masing-masing.

Penolong Pegawai Pertanian, Mohd Khairul Nizam Ramli berkata setiap arca yang dihasilkan memerlukan penelitian rapi serta kerjasama berpasukan bagi memastikan hasilnya kemas dan menarik perhatian pengunjung.

“Penyertaan aktif PPK seluruh Kedah dan Perlis membuktikan komitmen mereka dalam memeriahkan sektor agropelancongan negeri,” katanya.

Arca kartun Mickey Mouse yang menarik perhatian orang ramai, khususnya kanak-kanak yang datang ke sini.

Antara arca yang menjadi tumpuan ialah replika reptilia ular hasil karya PPK Seri Pantai yang dihasilkan oleh beliau sendiri. Selain itu, arca berbentuk watak kartun Mickey Mouse daripada PPK Kawasan A-11 Kodiang turut mencuri perhatian, khususnya kanak-kanak yang teruja bergambar bersama hasil seni berkenaan.

Menariknya, selepas karnival berakhir, jerami yang digunakan tidak dibazirkan sebaliknya akan dijual sebagai makanan ternakan seperti kuda, lembu dan kambing. Pendekatan ini mencerminkan amalan lestari dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber pertanian sedia ada.

-RI

Tinggalkan komen anda