
Laporan/foto: Nurulaini/Facebook Mohd Jafni Md Shukor
KULAI, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program Sukan Rakyat Wanita yang berlangsung di Kampung Bahagia, Felda Taib Andak berjaya menyemarakkan semangat komuniti apabila mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kaum ibu serta anak-anak Felda.

Mohd Jafni menyantuni kanak-kanak yang turut menyertai program ini
Program bertujuan memperkukuh silaturahim dan menggalakkan gaya hidup sihat itu menampilkan pelbagai acara sukan rakyat seperti pertandingan isi air dalam botol, baling-baling sayang, boling kelapa, follow the step serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Mohd Jafni Md Shukor, berkata program seumpama ini bukan sahaja menyediakan ruang riadah sihat malah menjadi platform mencungkil bakat serta membina keyakinan diri dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak
“Apabila wanita dan institusi keluarga diperkasa, komuniti akan menjadi lebih kukuh, harmoni dan berdaya tahan. Program seperti ini turut mencerminkan semangat gotong-royong dan kesejahteraan sosial,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa sokongan padu masyarakat setempat membuktikan semangat muafakat terus menjadi tunjang kekuatan komuniti Felda di negeri ini.
Penganjuran program tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor yang menekankan kesejahteraan keluarga, pengukuhan institusi komuniti serta pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
-AA-





