
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program Gotong-Royong Sempena Program Mega Rakyat anjuran Majlis Daerah Baling berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat di Dataran Kupang, di sini bagi memupuk kesedaran menjaga kebersihan awam.
Bertemakan ‘Baling BERSIH, BAHAGIA dan BERDAYA HUNI’ dan disertai kakitangan agensi kerajaan, sukarelawan serta penduduk setempat, program yang bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan komuniti melalui pelaksanaan aktiviti pembersihan, berlangsung selama empat jam bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Pegawai Daerah Baling merasmikan Program Gotong-Royong Perdana
Pelbagai aktiviti gotong-royong dilaksanakan dengan objektif meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kebersihan kawasan awam termasuk kerja pembersihan kawasan sekitar, pengumpulan sisa pepejal, pembersihan longkang, pemotongan rumput serta menceriakan landskap awam di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Baling Yazlan Sunardie Che Ya dalam ucapannya, menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk memastikan persekitaran Daerah Baling sentiasa berada dalam keadaan bersih, ceria dan selamat untuk didiami.
“Kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat. Apabila kita berganding bahu dalam program seperti ini, kita bukan sahaja membersihkan kawasan, malah mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan,” katanya.

Antara peserta gotong-royong yang hadir.
Sebanyak 1.2 tan sisa pepejal termasuk bahan buangan pukal dan sisa domestik berjaya dikumpulkan, manakala hampir 150 kilogram bahan kitar semula diasingkan untuk diproses. Pencapaian tersebut membuktikan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar serta keberkesanan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti.
Salah seorang peserta, Ghazali Ibrahim dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) Baling, menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.
“Program seperti ini sangat bermanfaat kerana bukan sahaja kawasan menjadi bersih, malah hubungan kejiranan juga semakin erat. Saya berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan secara berkala,” katanya.
-RI





