Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Wacana SejaTi MADANI Pemangkin Transformasi Perusahaan Komuniti Desa

By 14 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)

TANGKAK, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Program Wacana SejaTi MADANI anjuran Universiti Malaya dengan kerjasama Pejabat Daerah Tangkak dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman dalam usaha memperkasa perusahaan komuniti desa.

Azri ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Wacana SejaTi MADANI di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim

Program yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim itu dirasmikan Penolong Pegawai Daerah Tangkak, Muhammad Azri Abdullah yang mewakili Pegawai Daerah Tangkak.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan pendekatan libat urus secara langsung bersama komuniti luar bandar.

“Kajian dan program libat urus seperti ini amat penting bagi membantu pejabat daerah serta agensi kerajaan memahami realiti sebenar cabaran masyarakat luar bandar,” katanya.

Antara tetamu kenamaan dan pemimpin komuniti yang hadir memeriahkan Program Wacana SejaTi MADANI

Tambahnya, cabaran yang dihadapi komuniti tidak terhad kepada aspek ekonomi semata-mata, sebaliknya merangkumi kepimpinan, kelestarian projek, peningkatan kemahiran serta pengukuhan jaringan sokongan.

“Cabaran sebenar masyarakat tidak dapat difahami sepenuhnya melalui laporan semata-mata. Ia hanya dapat dilihat apabila kita turun ke lapangan, mendengar suara masyarakat dan menyelami realiti kehidupan mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, pembangunan inklusif serta tadbir urus berasaskan bukti.

Program berkenaan turut menyediakan ruang kepada peserta projek SejaTi MADANI untuk berkongsi amalan terbaik selain menerima pendedahan daripada pakar dan agensi berkaitan bagi meningkatkan daya saing serta kelestarian perusahaan masing-masing.

Turut hadir Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares) Profesor Madya Dr. Noraini Ahmad; Profesor Madya Dr. Nikmatul Adha Nordin; Penolong Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang Norlaila Abdul Jalil serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung setempat.

-AA-

Tinggalkan komen anda