
Laporan/foto: Mohd Shahrizan Shahabudin/Mahyudin Abd Rani
NIBONG TEBAL, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Kemeriahan menjelang Aidilfitri semakin dirasai apabila seramai 1,150 penduduk sekitar Nibong Tebal menerima sumbangan ayam percuma menerusi inisiatif Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal, hari ini.

Fadhlina Sidek turun padang mengedarkan ayam percuma kepada penduduk setempat
Program kebajikan yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek, bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal Muhamad Zaid Mohd Sharuddin, sebanyak empat lokasi strategik dipilih bagi memastikan agihan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan teratur.
“Antara lokasi terlibat ialah Masjid Al-Fatah Sungai Setar Besar, Surau Al-Husna Kampung Kebun Baru, Dataran Sungai Kechil serta di hadapan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal,” katanya.

Warga Nibong Tebal beratur untuk mendapatkan ayam, telur dan beras percuma di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal
Beliau turut memaklumkan bahawa selain ayam mentah, pihak penganjur juga mengedarkan barangan keperluan asas lain seperti telur ayam dan beras putih kepada orang ramai yang hadir.
Sementara itu, seorang penerima, Zainal Abdullah, 46, berkata beliau mengetahui mengenai program tersebut melalui media sosial sebelum hadir ke lokasi agihan di Dataran Sungai Kechil.
“Alhamdulillah, sumbangan seperti ini amat membantu dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan kami untuk menyambut Hari Raya nanti,” ujarnya.
-AA-






