Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

SWCorp Perlis Perhebat Op Perantau, Kutipan Sampah Pukal Mega Raya

By 19 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/SWCorp Perlis (Perlis)

KANGAR, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis mempergiat pelaksanaan Op Perantau dan Op Kutipan Sampah Pukal Mega Raya sempena sambutan Aidilfitri bagi memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa terjaga.

Operasi ini memastikan persekitaran sentiasa terjaga

Pengarahnya, Fadil Idris berkata inisiatif ini dilaksanakan bermula 7 hingga 21 Mac melibatkan premis kediaman, kawasan tumpuan orang ramai serta tapak bazar Aidilfitri di seluruh negeri.

“Pelaksanaan Op Perantau dan Kutipan Sampah Pukal ini bukan sahaja bagi memastikan kebersihan persekitaran terjaga, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk mengurus sisa pepejal secara lebih teratur menjelang Aidilfitri.

“Kesedaran masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kekal bersih dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan usaha ini, khususnya menjelang musim perayaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Premis kediaman meletakkan sampah di luar kediaman

Selain itu, Operasi Kutipan Sampah Pukal Mega Raya dilaksanakan bagi memberi peluang kepada penduduk melupuskan barangan bersaiz besar seperti perabot lama, tilam dan pakaian terpakai secara lebih teratur dan sistematik.

“Penduduk disarankan agar meletakkan sisa pukal di hadapan kediaman berhampiran tong sampah serta memastikan ia tidak menghalang laluan awam. Mereka juga diingatkan supaya tidak mencampurkan sisa pukal dengan sisa domestik biasa serta mengelakkan pembuangan secara tidak terkawal di kawasan awam,” ujarnya.

Dalam tempoh operasi ini, pihak konsesi turut meningkatkan kekerapan kutipan dengan menggerakkan tenaga kerja dan logistik secara optimum bagi memastikan semua sisa dapat dilupuskan dengan cekap tanpa menjejaskan kebersihan persekitaran.

Pelaksanaan operasi ini diharap dapat mewujudkan suasana yang lebih bersih, ceria dan kondusif menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri serta memupuk budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.

-AA-

Tinggalkan komen anda