
Laporan/foto: Siti Noor Ain (Daerah Timur Laut)
SERI DELIMA, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 55 golongan asnaf menerima sumbangan Bakul Ramadan serta wang tunai dalam Majlis Berbuka Puasa Seri Delima yang berlangsung di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Gelugor, Sabtu lepas.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, berharap program seumpama ini dapat menjadi wadah mempererat hubungan dalam komuniti setempat
Sumbangan wakil AEO Freight Sdn. Bhd. Datuk Rijal Abdullah Sharri bersama Datin Norhaslinda Abdul Wahab sebagai usaha meringankan beban golongan memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Salah seorang penerima, Halim Ooi, 79, meluahkan rasa syukur atas keprihatinan yang dizahirkan oleh pihak penganjur dan penyumbang.
“Syukur sangat, bantuan ini bukan sahaja membantu menampung perbelanjaan harian, malah memberi sedikit kelegaan untuk membuat persiapan hari raya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata penganjuran majlis berbuka puasa tersebut merupakan acara tahunan yang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

Antara komuniti setempat yang hadir bagi memeriahkan majlis berbuka puasa
“Program seperti ini memberi ruang kepada masyarakat untuk berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan silaturahim. Pada masa sama, ia mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Majlis Berbuka Puasa Seri Delima itu dianjurkan oleh MPKK Sungai Gelugor dan MPKK Jalan Akuarium dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gelugor serta Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, dalam usaha memastikan kebajikan penduduk setempat terus terpelihara.
-AA-





