Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Lebih 3,000 Pelita Meriahkan Pesta Pelita Raya di Raub

By 10 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Izarina (Raub)/Majlis Daerah Raub

RAUB, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Cahaya lebih 3,000 pelita menceriakan suasana malam di Tasik Kampung Sungai Pasu, di sini sempena Pesta Pelita Raya Pahang 2026 Daerah Raub, semalam.

Pesta yang bertemakan ‘Raya Sekampung’ itu sekali gus menghidupkan kembali tradisi pemasangan pelita yang pernah menjadi amalan masyarakat suatu ketika dahulu menjelang sambutan Aidilfitri.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar sambil menikmati keindahan cahaya pelita.

Keindahan cahaya pelita yang disusun dan dinyalakan di sekitar kawasan tasik berjaya mewujudkan suasana kampung yang penuh nostalgia, sekali gus menarik kehadiran masyarakat setempat serta pengunjung dari kawasan sekitar.

Pesta yang berlangsung dalam suasana meriah itu menghimpunkan penduduk pelbagai lapisan usia, termasuk kanak-kanak, belia dan warga emas.

Kehadiran orang ramai jelas menggambarkan bahawa tradisi pelita masih mendapat tempat di hati masyarakat sebagai simbol kemeriahan dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri.

Salah seorang pengunjung, Siti Nurul Abd Jalil, 43, berkata Pesta Pelita Raya ini bukan sekadar pesta, tetapi menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga dan komuniti setempat di sini.

Ribuan pelita bergemerlapan menerangi suasana malam sempena Pesta Pelita Raya Daerah Raub.

“Program seperti ini wajar diteruskan setiap tahun kerana mampu menghidupkan semula suasana tradisi yang semakin dilupakan.

“Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu menghidupkan kembali tradisi lama di samping memupuk semangat perpaduan, kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat dan turut berperanan sebagai medium untuk memperkenalkan nilai-nilai warisan budaya kepada generasi muda agar terus dipelihara dan diwarisi pada masa hadapan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda