
Laporan/foto: Nor Haliza Ridzuan/Noornita Ahmad
PERMATANG PAUH, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Jamek Mengkuang Titi bersempena sambutan Nuzul al-Quran 1447 Hijrah di Mengkuang Titi, di sini kelmarin.

Perdana Menteri disambut meriah oleh penduduk Mengkuang Titi
Program yang dihadiri lebih 1,500 pengunjung itu dimulakan dengan Tadarus al-Quran 30 juz dan Majlis Khatam al-Quran melalui pelaksanaan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, hasil kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Seorang penduduk setempat, Mohd Shaharuddin Mat, 57, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan membina masjid berkenaan bagi kegunaan masyarakat setempat.
“Masjid ini dijangka menjadi nadi kepada masyarakat setempat sebagai pusat menimba ilmu, memperkukuh ukhuwah serta mengimarahkan penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya.
Masjid Mengkuang Titi dibangunkan bagi memenuhi keperluan ibadah masyarakat Islam di Permatang Pauh dan kawasan sekitarnya yang semakin berkembang.

Antara jemputan yang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul al-Quran 1447H
Masjid ini dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan mampu menampung kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
Selain dewan solat utama, masjid ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti bilik mesyuarat, bilik pengurusan jenazah, bilik akad nikah serta pejabat pentadbiran bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Dalam majlis yang sama, Anwar turut melancarkan Inisiatif Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) yang bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
-AA-





