
Laporan/foto: Matsukarmi Suani / Rizalman Daim (Sarawak)
BALINGIAN, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Lebih 250 bungkus nasi briyani diagihkan kepada orang ramai sempena Ramadan menerusi Program Agihan Nasi Briyani yang berlangsung di Pekan Lama Balingian, di sini semalam.
Program tersebut merupakan anjuran bersama SABERKAS Cawangan Balingian, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian, Pusat Khidmat Balingian dan One Head Balingian.

Sesi bergambar kenangan bersama para tetamu yang hadir memeriahkan Program Agihan Nasi Briyani di Pekan Balingian, semalam.
Menurut Setiausaha SABERKAS Cawangan Balingian, Muhammad Tarmizi Kharnain, inisiatif berkenaan bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan di samping merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
“Program agihan nasi briyani ini bukan sahaja untuk mengimarahkan Ramadan, malah menjadi platform menyemai budaya berkongsi rezeki serta memupuk nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam komuniti,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Agihan yang bermula seawal 4 petang itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Abdul Yakub (tengah) menyerahkan nasi briyani kepada Peleadzman (kiri) sambil diperhatikan oleh Datu Kueh Lei Poh (kanan).
Turut hadir Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat setempat.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti di kawasan Balingian.
-RJ-





