
Laporan/foto: Syaiful SAS (Rompin)/Majlis Belia Daerah Rompin
MUADZAM SHAH, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Suasana pilu dan penuh keinsafan menyelubungi program Ziarah Kasih anjuran Majlis Belia Daerah Rompin yang diadakan di sekitar Felda Selancar apabila rombongan belia turun padang menziarahi beberapa keluarga yang sedang berdepan kesukaran hidup sepanjang bulan Ramadan ini, kelmarin.

Aisamuddin (tengah) bersama sukarelawan Majlis Belia Daerah Rompin ketika menziarahi sebuah keluarga dalam program Ziarah Kasih bagi menyampaikan sumbangan serta memberi sokongan moral kepada penduduk setempat
Program tersebut diadakan bagi menyantuni masyarakat setempat di samping menyampaikan sumbangan sebagai usaha meringankan beban golongan yang memerlukan.
Pengerusi Majlis Belia Daerah Rompin Aisamuddin Amir Hakim Razali, berkata program Ziarah Kasih tersebut merupakan antara inisiatif pihaknya bagi memastikan golongan yang memerlukan sentiasa diberi perhatian, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Kehadiran rombongan belia bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah bertujuan memberi sokongan moral serta semangat kepada keluarga yang sedang diuji.
“Program seperti ini bukan sahaja untuk menghulurkan bantuan, tetapi lebih penting untuk kita hadir menyantuni dan memberi kata-kata semangat kepada mereka yang sedang berdepan ujian hidup,” katanya.

Aisamuddin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk yang uzur
Namun suasana menjadi lebih menyentuh perasaan apabila rombongan menziarahi empat orang adik-beradik yang baharu sahaja kehilangan ibu tersayang akibat penyakit kanser, apabila kisah yang dikongsikan oleh mereka mengundang simpati dan meruntun jiwa sehingga menitis air mata dalam kalangan rombongan yang hadir, meskipun keempat-empat beradik tersebut tetap menunjukkan ketabahan dalam meneruskan kehidupan walaupun diuji dengan kehilangan insan paling disayangi.
“Melihat sendiri kesukaran yang dilalui keluarga terlibat, khususnya empat beradik yang baru kehilangan ibu, benar-benar menyentuh hati kami dan mengingatkan bahawa masih ramai yang memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia di samping memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi perhatian.
Tambahnya, semangat kebersamaan dan sikap saling membantu amat penting dalam memastikan tiada pihak yang terpinggir, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
-AA-






