Skip to main content
Berita TempatanSarawak

IPD Mukah Santuni Pesara Polis, Sampaikan Sijil PJPN

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah (Mukah)

MUKAH, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah mengadakan Program Lawatan Kebajikan Pesara Polis serta penyampaian Sijil Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) tanpa istiadat di sekitar daerah ini kelmarin.

Program dari jam 10 hingga 11 pagi itu diketuai Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias bersama pegawai kanan, anggota polis serta ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Mukah.

Muhamad Rizal berkata program berkenaan melibatkan lawatan ke kediaman dua pesara polis bagi menyampaikan Sijil PJPN sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara.

Lawatan pertama diadakan di kediaman Kons (B) Kang Siew Hai, 88, yang pernah berkhidmat sebagai anggota Sarawak Constabulary (Home Guard) di IPD Mukah sebelum bersara pada tahun 1979.

Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke rumah Kons (B) Abdul Rani Adenan, 72, yang pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Tambahan (AP) di IPD Mukah.

Dalam kedua-dua lawatan tersebut, Muhamad Rizal turut menyampaikan Sijil PJPN tanpa istiadat serta sumbangan dan hamper sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pesara berkenaan.

“Pingat Jasa Pahlawan Negara merupakan anugerah kerajaan kepada anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi mempertahankan negara sepanjang tempoh darurat dari 12 Julai 1948 hingga 17 Oktober 1990,” katanya.

“Pesara polis merupakan sebahagian daripada keluarga besar PDRM dan jasa mereka tidak harus dilupakan,” katanya.

Menurutnya, program lawatan kebajikan itu merupakan inisiatif berterusan PDRM bagi memastikan kebajikan pesara sentiasa diberi perhatian di samping mengeratkan hubungan antara warga pasukan yang masih berkhidmat dengan bekas anggota.

Beliau berkata lawatan tersebut turut memberi peluang kepada pihak polis bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan pesara serta mengenal pasti keperluan kebajikan yang mungkin memerlukan perhatian pihak berkaitan.

Pihak polis juga berkongsi maklumat mengenai bantuan serta perkhidmatan yang boleh diperoleh oleh pesara daripada kerajaan dan agensi berkaitan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda