
Laporan/foto: Greatest Tagel (Serian)
SERIAN, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 84 warga emas daripada 14 kampung komuniti Islam di Parlimen Serian diraikan dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Ikhlas Setulus Kasih di Roxy Hotel Serian, semalam.
Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem, menyampaikan sumbangan berupa pakej kuih raya dan wang tunai sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada para penerima.
Menurut beliau, walaupun bantuan yang disalurkan tidak seberapa, ia diharap dapat meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada golongan warga emas.
“Bantuan seperti ini mungkin kecil bagi sesetengah orang, tetapi ia cukup bermakna bagi mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.
Ketua Kaum Kampung Sri Menanti, Rashidi Mohd Murat, menyifatkan sumbangan setiap tahun itu sebagai tanda keprihatinan pemimpin terhadap kebajikan masyarakat setempat.
“Keprihatinan dan keikhlasan beliau yang sentiasa memberikan sumbangan raya setiap tahun membuktikan beliau benar-benar berjiwa rakyat,” ujarnya.
Selain warga emas, sebanyak 15 masjid dan surau di sekitar Parlimen Serian turut menerima sumbangan raya bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri dalam komuniti setempat.
-RJ-





