
Laporan/Foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Seorang anak muda, Irfan Danial Asri @ Masry, mengambil peluang menjual Kek Lapis Sarawak sehingga malam terakhir Ramadan di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Menurut Irfan, keputusan menceburi bidang perniagaan Kek Lapis Sarawak didorong oleh rakan-rakan yang memberi semangat dan galakan untuk mempromosi produk di pasaran tempatan.

Antara kek lapis pelbagai perisa yang dijual di gerai Irfan sempena Ramadan di Wisma MUIS, Kota Kinabalu.
Katanya, kek lapis yang dijual dihasilkan sendiri oleh pembuat kek lapis di Sarawak sebelum dibekalkan kepadanya dengan pelbagai pilihan perisa untuk pelanggan.
“Antara kek yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah kek lumut, kek belacan, kek masam manis, lumut cheese, pistachio cheese dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Irfan berharap jualan akan meningkat terutama menjelang penghujung Ramadan apabila lebih ramai orang mula membuat persiapan Hari Raya.

Irfan menunjukkan antara kek lapis yang menjadi pilihan pelanggan di gerainya di Wisma MUIS, Kota Kinabalu.
Beliau turut menyimpan harapan untuk mengembangkan kemahiran serta jenama perniagaannya melalui bantuan dan sokongan daripada institusi keusahawanan berkaitan.
“Sebagai usahawan muda yang baru bermula, saya berharap ada lebih banyak bantuan atau program sokongan yang dapat membantu kami mengembangkan perniagaan pada masa akan datang,” katanya.
Selain pembelian terus di gerai, beliau turut menyediakan perkhidmatan penghantaran bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan Kek Lapis Sarawak yang beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang.
-RJ-





