
Laporan/foto: Hasnida Sarani/(Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 12 Mac (MalaysiAktif) – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Sembilan (PCNS) telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Masjid Negeri, di sini semalam.

Pengerusi PCNS Datin Suriani Yahya (tengah) yang dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa syukur kejayaan program tahunan tersebut turut membaca dan menyemak bacaan surah-surah lazim.
Majlis tersebut merupakan kemuncak kepada Program Tadarus Al-Quran sempena bulan Ramadan 1447H/2026M yang melibatkan penyertaan aktif daripada ahli-ahli PCNS sejak 23 Feb lalu hingga Isnin lepas.
Pengerusi PCNS Datin Suriani Yahya dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa syukur atas komitmen yang ditunjukkan oleh ahli-ahli persatuan dalam menjayakan program tahunan tersebut.
Sementara itu, seorang ahli PCNS, Jamilah Nasution, 32, berkata, penganjuran majlis seperti ini amat bermakna bagi warga kerja kerajaan sepertinya.
“Program tadarus dan khatam al-Quran ini memberi peluang kepada kami untuk merebut ganjaran pahala di bulan Ramadan walaupun sibuk dengan tuntutan tugas harian di pejabat.
“Ia bukan sahaja dapat memupuk budaya cintakan al-Quran dalam kalangan penjawat awam wanita, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli PUSPANITA,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
-RI





