Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Anggota RELA Putrajaya Terima Sumbangan Juadah Ramadan MADANI, Hargai Inisiatif Perdana Menteri

By 14 Mac 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/RELA Malaysia

PUTRAJAYA, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di lapangan di sekitar Putrajaya menerima sumbangan juadah berbuka puasa menerusi program Juadah Ramadan MADANI: Apresiasi Barisan Hadapan, satu inisiatif Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena bulan Ramadan, semalam.

Program tersebut merupakan tanda penghargaan Anwar kepada petugas barisan hadapan yang tetap menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat walaupun berpuasa sepanjang Ramadan.

Penyerahan juadah berbuka itu disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di Kompleks Seri Perkasa, di sini.

Bercakap kepada Malaysia Aktif, Penyelia Anggota RELA Banglo Transit Presint 10, Putrajaya, PSR I Lubna Mohamad Zaini berkata sumbangan itu amat bermakna kepada anggota RELA yang bertugas di lapangan kerana mereka tetap melaksanakan tugas walaupun dalam keadaan berpuasa.

Beliau berkata keprihatinan Anwar yang meluangkan perhatian kepada anggota RELA walaupun sibuk dengan pelbagai urusan negara membuatkan mereka berasa dihargai.

Menurutnya, walaupun tugas RELA sering dianggap kecil berbanding agensi lain, para anggota tetap menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab seperti yang disarankan oleh Ketua Pengarah RELA Datuk Rosli Yaakub supaya setiap tugas dilaksanakan dengan jujur dan amanah.

Sementara itu, Penyelia Anggota RELA di Kementerian Dalam Negeri, PSR II Daeng Zafri Daeng Mokhtar turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan kepada anggota RELA yang bertugas di barisan hadapan.

Beliau berkata terdapat anggota yang terpaksa berbuka puasa di lokasi tugas kerana komitmen menjaga keselamatan negara, berbeza dengan orang lain yang dapat berbuka bersama keluarga.

Namun katanya, sumbangan tersebut menunjukkan bahawa pengorbanan anggota RELA tetap dihargai oleh kepimpinan negara.

“Walaupun Perdana Menteri sibuk dengan pelbagai tugasan rasmi, beliau tidak melupakan anggota RELA yang bertugas di barisan hadapan. Saya mewakili anggota RELA mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan ini,” katanya.

Program Juadah Ramadan MADANI: Apresiasi Barisan Hadapan dilaksanakan dengan peruntukan RM300,000 daripada peruntukan Program Jelajah Wira MADANI (PJWM) 2026 yang disalurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Inisiatif tersebut melibatkan agihan juadah berbuka puasa di 16 lokasi di seluruh negara termasuk balai polis, balai bomba dan hospital bagi menghargai pengorbanan petugas yang terus berkhidmat sepanjang Ramadan.

Setiap pek juadah yang diagihkan bernilai RM40, mengandungi set nasi lengkap bersama lauk dan sayur mengikut lokaliti negeri, kurma, buah-buahan tempatan, air mineral serta minuman kotak.

Program ini dilaksanakan bermula minggu kedua hingga minggu terakhir Ramadan, dengan ICU dan PACU bertanggungjawab menyelaras pelaksanaannya di seluruh negara sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terus berkhidmat demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

-FN

Tinggalkan komen anda