Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sultan Selangor Titah Rakyat Tidak Buat Spekulasi Tarikh Aidilfitri

By 14 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria (Shah Alam)

SHAH ALAM, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penetapan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kini tular di media sosial.

Baginda bertitah, pelbagai andaian dan ramalan tanpa asas yang disebarkan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan orang ramai supaya bersabar dan tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tidak sahih serta merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Khutbah Jumaat berhubung perkara berkenaan.

Baginda menegaskan, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis, 19 Mac 2026 selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu seperti amalan yang telah lama dilaksanakan di negara ini.

“Malaysia mempunyai kaedah penentuan awal bulan Ramadan dan Syawal yang tersendiri melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur, teliti dan berpandukan kepada keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.

“Kaedah ini telah sekian lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat oleh negara-negara lain,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Baginda turut menyeru umat Islam agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya sehingga melalaikan peluang memanfaatkan sepuluh malam terakhir Ramadan.

Pada 10 Mac lalu, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengeluarkan kenyataan bahawa permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal atau anak bulan serta data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di sesebuah negara.

-AA-

Tinggalkan komen anda