
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Bandar Simanggang bakal menganjurkan empat acara utama sempena sambutan Mantar Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sri Aman 2026 bermula 15 Mei hingga 25 Mei nanti.
Penganjuran tersebut bertujuan memperkasakan warisan budaya masyarakat Iban di samping menjadi platform mempromosikan identiti kaum tersebut kepada masyarakat luar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Francis Harden Hollis berkata aktiviti berkenaan signifikan dalam mengetengahkan keunikan budaya tempatan menerusi platform media sosial.
Beliau menjelaskan penglibatan aktif komuniti dapat mengangkat martabat budaya ke tahap lebih tinggi serta mengukuhkan semangat kebersamaan di daerah berkenaan.
“Saya berharap aktiviti ini dapat mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di Bahagian Sri Aman,” katanya kepada MalaysiaAktif selepas menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Sambutan Mantar Gawai Dayak yang diketuai Temenggong Leonard Libau Anol, semalam.
Sambutan turut diserikan dengan pertandingan Pekit Kumang dan Keling yang menjadi platform mempamerkan keindahan busana tradisional masyarakat Iban.
Pengerusi Persatuan Wanita Dayang Sarawak (SIDS) Cawangan Sri Aman Brambun Joseph memaklumkan penyertaan pertandingan tersebut dibuka kepada 10 peserta terawal dengan tarikh tutup pada 9 Mei.
-RJ-





