
Laporan/foto: Greatest Tagel (Serian)
TEBEDU, 12 Mac (MalaysiaAktif) — Inisiatif perkhidmatan bas sekolah percuma oleh Yayasan Sarawak di Sekolah Kebangsaan Kujang Mawang dilihat mampu meningkatkan kehadiran murid ke sekolah serta mengurangkan beban kewangan ibu bapa terhadap kos pengangkutan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata usaha itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Sarawak memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan menyeluruh termasuk kemudahan pengangkutan.

Dr Simon melancarkan simbolik penyerahan bas percuma di Majlis Pelancaran Pengangkutan Percuma Yayasan Sarawak, semalam.
“Jarak yang jauh, kekurangan pengangkutan awam serta keadaan geografi yang mencabar sering menjadi penghalang kepada kehadiran murid ke sekolah yang secara tidak langsung menjejaskan prestasi akademik dan pembangunan sahsiah mereka,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut, semalam.
Menurut beliau, inisiatif itu turut membuktikan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada anak negeri tercicir daripada arus pembangunan pendidikan tanpa mengira lokasi tempat tinggal.
Bapa kepada salah seorang pelajar, Aji Miser, 53, berkata kemudahan bas sekolah percuma itu amat membantu dan memberi kelegaan kepada ibu bapa serta pelajar.

Aji Miser menyifatkan kemudahan bas sekolah percuma tersebut amat membantu dan memberi kelegaan kepada ibu bapa serta pelajar.
“Dengan adanya perkhidmatan bas sekolah percuma ini, perbelanjaan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah dapat dijimatkan sekali gus mengurangkan tekanan ekonomi keluarga,” ujarnya.
-RJ-





