
Laporan/foto: Eviannie Kin (Sarawak)
KUCHING, 12 Mac (MalaysiaAktif) — Pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang mula dikreditkan pada kelmarin disambut baik penerima, khususnya golongan bujang yang merasai manfaat bantuan tersebut dalam mengurus perbelanjaan harian.
Bagi salah seorang penerima, Rika Arkasya Ragis, 29, bantuan itu memberi kelegaan kepada golongan bujang yang berdepan komitmen kewangan serta kos sara hidup semakin meningkat.
“Kami rasa dihargai dan tidak lagi sendirian. Walaupun berstatus bujang, kami tetap mempunyai komitmen kewangan dan ekonomi yang belum sepenuhnya stabil. Dengan bantuan ini, saya dapat membeli beras basmati untuk diet yang lebih sihat tanpa perlu berfikir panjang tentang kos,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Rika sedang memilih pilihan beras basmati yang terdapat di pasar raya yang juga boleh dibeli menggunakan kredit SKAS.
Tambahnya, penggunaan kredit SKAS melalui aplikasi SPay Global turut memudahkan pengurusan kewangan bulanannya, khususnya bagi perbelanjaan barangan dapur.
“Sangat membantu untuk mengatur kewangan bulanan. Saya simpan peruntukan barangan runcit dalam aplikasi ini dan setiap kali membeli-belah, saya hanya gunakan kredit SKAS,” katanya lagi.
Seorang lagi penerima, Marcellinus Hiego Paing, 26, berkata bantuan tersebut memberi peluang kepada golongan bujang berpendapatan rendah menikmati kualiti barangan yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
“Kalau dulu hanya mampu beli ubat gigi biasa, sekarang dapat beli jenama lebih baik. Kalau dulu beli teh uncang biasa, sekarang dapat rasa teh ‘instant pack’ lebih sedap. Kita rasa bersyukur dapat merasai barangan lebih berkualiti walaupun tidak selalu. Bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban terutama bagi kami yang kurang berkemampuan,” katanya.
Untuk rekod, bagi tahun 2026, individu bujang yang layak menerima bantuan SKAS sebanyak RM300 disalurkan secara berfasa bagi membantu meringankan kos sara hidup.
-RJ-





