
Laporan/foto: Abdul Waasiek/U. Prakash (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 100 orang penerima daripada golongan berpendapatan rendah menerima baucar Pasar Raya Mydin bernilai RM100 bagi membeli barangan keperluan harian menerusi Program Bantuan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Semangat Malaysia Pulau Pinang (PKSMPP).
Penerima berpeluang mendapatkan barangan dapur asas seperti beras, minyak masak serta keperluan harian lain sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan menjelang sambutan Aidilfitri.

Wajah ceria dan senyuman syukur dari 100 orang penerima bantuan baucar RM100
Pengerusi PKSMPP Shafiz Rahim Raja, berkata inisiatif tahunan itu bukan sahaja bertujuan membantu meringankan kos sara hidup penerima, malah memberi peluang kepada mereka menyambut Aidilfitri dalam suasana yang lebih ceria bersama keluarga.
“Kami percaya bantuan kecil seperti ini mampu memberi makna besar kepada penerima, khususnya dalam membuat persiapan Aidilfitri. Lebih penting, program ini mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat apabila pelbagai pihak berganding bahu membantu golongan yang memerlukan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Menurut beliau, kerjasama erat antara badan kebajikan, sektor swasta dan rakan penaja membuktikan bahawa usaha kolektif masyarakat mampu memberi impak positif.
-AA-





