
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Komitmen memperkukuh pembangunan komuniti Bidayuh di kawasan Lundu terus diperkasa melalui peruntukan berjumlah RM350,000 bagi menyokong aktiviti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Lundu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi kerja menaik taraf Bangunan DBNA Lundu serta Dewan DBNA.
“Peruntukan ini diharap dapat memperkasakan peranan DBNA sebagai platform yang menyatukan masyarakat serta memacu pelbagai program pembangunan komuniti di Lundu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan DBNA Cawangan Lundu di Dewan DBNA Lundu, semalam.

Billy Sujang menekankan kepentingan peranan DBNA dalam menyatukan masyarakat dan memacu pembangunan komuniti semasa hadir pada Mesyuarat Agung Tiga Tahunan DBNA Cawangan Lundu di Dewan DBNA Lundu, semalam.
Billy menjelaskan baki RM50,000 melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan bagi menyokong program komuniti termasuk sambutan Gawai 2026 dan insentif pendidikan pelajar.
Beliau berkata penambahbaikan kemudahan tersebut diharap dapat menjadikan bangunan DBNA sebagai pusat aktiviti komuniti yang lebih aktif dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menurut Billy, DBNA memainkan peranan penting sebagai peneraju masyarakat Bidayuh di daerah tersebut yang terkenal dengan kepelbagaian sub-etnik seperti Salako, Jagoi dan Rara.
Beliau menegaskan masyarakat Bidayuh tetap berkongsi warisan dan identiti yang sama yang perlu terus dipelihara walaupun mempunyai dialek serta latar budaya berbeza.
Billy turut menggalakkan usaha berterusan oleh DBNA dalam mendokumentasikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masyarakat Bidayuh di kawasan berkenaan.
“Usaha dokumentasi ini amat penting bagi memastikan hak masyarakat dapat dipelihara dan diiktiraf dengan lebih jelas pada masa hadapan,” katanya.
-RJ-





