
Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah (Mukah)
MUKAH, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki memiliki dadah di Jalan Bukut Balingian, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan ke atas suspek berusia 24 dan 30 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
Beliau berkata tangkapan dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan sebuah bengkel kenderaan berat yang menemui satu tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 0.38 gram di dalam kotak rokok.
“Dadah berkenaan dipercayai untuk kegunaan sendiri berdasarkan kuantiti kecil yang ditemui semasa pemeriksaan dijalankan. Suspek berusia 30 tahun positif dadah hasil ujian saringan air kencing ,” katanya kepada Malaysia Aktif hari ini.
Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh itu direman tiga hari sehingga 4 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-RJ-





