Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Galeri Penjara Pokok Sena Tawar Kuih Raya Hasil Tangan Penghuni

By 9 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Noor Syuhada Mohd Yasin (Pokok Sena)

POKOK SENA, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Galeri Penjara Pokok Sena menganjurkan jualan kuih raya bermula 19 Feb lepas hingga 19 Mac ini, menampilkan pelbagai produk makanan yang dihasilkan sendiri oleh penghuni penjara sebagai sebahagian daripada program latihan kemahiran dan pemulihan.

Set jimat turut disediakan.

Jualan itu memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan kuih raya berkualiti tinggi di samping menyokong usaha memperkasa kemahiran penghuni sebagai persediaan kembali ke pangkuan masyarakat.

Antara kuih yang ditawarkan termasuk tart nenas, semperit, biskut cornflakes dan pelbagai lagi pilihan tradisional serta moden yang disediakan mengikut piawaian kebersihan dan kualiti yang ditetapkan.

Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang pemasaran produk institusi, malah menjadi platform membina keyakinan diri serta disiplin dalam kalangan penghuni.

“Saya tidak sangka kuih yang dihasilkan sangat sedap dan setanding dengan produk komersial di luar. Selain membeli untuk keluarga, saya rasa ini satu cara untuk menyokong usaha pemulihan penghuni,” kata seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Aisyah Saad, 36, ketika ditemui kelmarin.

Aisyah Saad dari Pulau Pinang.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi Galeri Penjara Pokok Sena sepanjang tempoh jualan bagi mendapatkan pelbagai pilihan kuih raya sambil menyokong inisiatif pembangunan kemahiran dan kebolehpasaran penghuni penjara.

Penganjuran jualan kuih raya itu mencerminkan komitmen berterusan pihak Penjara Pokok Sena dalam melaksanakan program pemulihan berimpak tinggi melalui latihan vokasional, sekali gus membuktikan bahawa institusi penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, tetapi juga medan membina masa depan yang lebih baik.

-RI

Tinggalkan komen anda