
Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid/Zaidi Jamin/PERKIPS HQE (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Penganjuran program keagamaan di peringkat organisasi berperanan membentuk nilai-nilai positif untuk kebaikan bersama, kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Dr. Shahiskandar Sybil Syah.

Anggota perubatan Hospital Queen Elizabeth menyertai Majlis Khatam al-Quran sempena Ramadan 2026/1447H, semalam.
Beliau berkata acara sedemikian mewujudkan nilai kebersamaan, semangat kerja berpasukan serta meningkatkan kesedaran rohani dalam kalangan kakitangan.
“Majlis ini juga menjadi wadah memperkukuh ukhuwah warga hospital serta memupuk kesedaran rohani melalui penghayatan al-Quran,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif pada Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Ramadan yang turut dianjurkan bersama Unit Hal Ehwal Islam Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini semalam.
Program itu menghimpunkan kira-kira 100 peserta termasuk anggota hospital, ahli PERKIPS, pengunjung serta petugas keselamatan.

Ahli PERKIPS mengagihkan juadah berbuka kepada pengunjung sekitar hospital selepas majlis Khatam al-Quran dan Iftar Ramadan.
Lebih unik apabila anggota hospital turut membawa juadah berbuka sendiri, sekali gus menunjukkan semangat kerjasama dan keharmonian.
Majlis dimulakan dengan upacara khatam al-Quran, diikuti sesi tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohd. Syahir Ismail, sesi soal jawab agama serta majlis berbuka puasa bersama.
Turut hadir Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis, ketua-ketua jabatan serta warga hospital beragama Islam bagi memeriahkan majlis.
-RJ-





