
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling melaksanakan Program Ronda Cegah Jenayah dan Jom Sahur Zon A bagi menyantuni serta memberi sokongan moral kepada anggota polis yang bertugas sepanjang bulan Ramadan di daerah ini, Jumaat lepas.

Anggota polis yang terlibat sedang mendengar taklimat khas Program Ronda Cegah Jenayah dan Jom Sahur.
Ketua Polis Daerah Baling Supt. Brandon Richard Joe, program bagi memastikan anggota polis kekal bermotivasi semasa bertugas sepanjang Ramadan selain menekankan nilai kepedulian institusi terhadap kesejahteraan anggota.
Ia juga katanya berperanan meningkatkan semangat pasukan, serta memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap peranan polis dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan sepanjang bulan Ramadan.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi motivasi kepada anggota yang bertugas, malah turut memperkukuh usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan masyarakat di daerah Baling sentiasa terpelihara,” katanya pada program berkenaan.
Program bermula di perkarangan IPD Baling seterusnya ke Balai Polis Kupang, Balai Polis Tanjung Pari dan Balai Polis Baling, melibatkan anggota dari Bahagian Gerakan, Bahagian Trafik, Lokap, Pegawai Penyiasat serta petugas di pos pengawal.
-RI





