
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Jackson Abel (Bau)
BAU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Kewujudan Gerai Tani Kampung Tembawang Sauh di daerah ini membantu menjana ekonomi penduduk setempat selain menjadi lokasi jual beli hasil pertanian.
Inisiatif tersebut membuka peluang kepada para petani, pekebun kecil serta usahawan kampung untuk memasarkan hasil tanaman dan produk tempatan secara terus kepada pengguna.
Gerai tani berkenaan menghimpunkan pelbagai hasil segar seperti sayur-sayuran kampung, buah-buahan bermusim, hasil hutan, kuih-muih serta produk makanan tradisional masyarakat Bidayuh.
Penjaja, Mona Sikim, 36, berkata gerai tani tersebut secara tidak langsung menggalakkan aktiviti pertanian berskala kecil terus berkembang dalam kalangan penduduk kampung.

Mona Sikim menyediakan jualan pisang goreng di Gerai Tani Kampung Tembawang Sauh yang menjadi antara tarikan utama pengunjung untuk mendapatkan snek tradisional masyarakat setempat.
“Gerai tani ini menghimpunkan pelbagai hasil segar seperti sayur-sayuran kampung, buah-buahan bermusim, hasil hutan, produk makanan tradisional serta kuih yang segar.
“Kami berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan usaha menaik taraf pasar tani ini agar tampil dengan wajah baharu yang lebih cantik dan selesa untuk manfaat semua,” katanya ketika ditemui di gerai berkenaan kelmarin.
Gerai tani tersebut turut menjadi pusat pertemuan komuniti yang mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk selain menjana ekonomi setempat.
Suasana mesra serta semangat gotong-royong yang ditonjolkan mencerminkan kekuatan masyarakat luar bandar dalam membangunkan ekonomi secara bersama.
Inisiatif seperti ini wajar diteruskan dan diperkasa dengan sokongan agensi berkaitan agar terus menjadi nadi ekonomi komuniti di daerah Bau.
-RJ-





