
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman (JKP MBSA) menyantuni mangsa kebakaran di Taman Sentosa Indah melalui penyaluran bantuan serta sokongan moral selepas solat Subuh di Masjid Bandar Sri Aman, di sini semalam.
Mangsa kebakaran Dayang Siti Mahfuzah, 40, sebelum ini kehilangan bapa dan anaknya dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 7 Mac lalu.
Pengerusi JKP MBSA Azmi Morshidi berkata bantuan tersebut merupakan usaha pihak masjid untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa.
“Masjid adalah milik masyarakat dan apabila ada ahli kariah yang ditimpa musibah, menjadi tanggungjawab kami untuk hadir memberi sokongan serta membantu meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak pengurusan masjid bukan sahaja menyalurkan bantuan kewangan malah turut memberi sokongan moral serta rohani kepada mangsa yang terkesan.
“Kita tidak mahu masjid hanya dilihat sebagai tempat solat semata-mata, sebaliknya menjadi tempat masyarakat mendapatkan sokongan ketika menghadapi kesusahan,” katanya.
Azmi berkata pihaknya komited untuk terus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat kebajikan komuniti melalui pelbagai inisiatif bantuan kepada golongan memerlukan.
Usaha tersebut diharap dapat memastikan setiap ahli kariah sentiasa mendapat sokongan serta perhatian daripada institusi masjid terutama ketika berdepan ujian hidup.
-RJ-





