
Laporan/foto: Aini (Perlis)
KANGAR, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Menjelang musim perayaan, santan segar terus menjadi pilihan masyarakat bagi menyediakan pelbagai juadah tradisional Aidilfitri kerana rasanya yang lebih asli serta memberikan aroma yang lebih enak kepada masakan.
Pemilik gerai santan di Pasar Besar Sena, Sunita Abd Hamid, 46, berkata permintaan santan segar biasanya meningkat ketara apabila menghampiri Aidilfitri kerana ramai pelanggan lebih gemar menggunakan santan yang diperah segar untuk menyediakan hidangan raya.

Jualan secara kilogram bagi pembelian santan.
Beliau berkata santan segar merupakan bahan penting dalam penyediaan pelbagai juadah tradisional seperti rendang, kari, ketupat palas dan kuih-muih yang sering dihidangkan ketika Aidilfitri.
Menurutnya, pada hari biasa beliau memproses sekitar 700 kilogram (kg) kelapa sehari, namun jumlah tersebut boleh meningkat sehingga dua tan kelapa sehari apabila memasuki musim hampir perayaan bagi memenuhi permintaan pelanggan terutamanya di negeri Perlis.
“Setiap satu tan kelapa yang diproses boleh menghasilkan kira-kira 300kg santan segar pekat.
“Kami mula beroperasi sejak awal pagi setiap hari dan kebiasaannya bekalan santan akan habis sekitar jam 3 hingga 4 petang,” katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak di Pasar Besar Sena, di sini semalam.

Setiap kelapa part, diperah 3 kali untuk mendapatkan hasil santan yang maksima.
Beliau berkata bekalan kelapa diperoleh daripada pembekal tetap di Pokok Sena, Kedah, selain turut mendapatkan bekalan kelapa tempatan dan juga kelapa import dari Indonesia bagi memastikan stok sentiasa mencukupi.
“Setakat ini bekalan kelapa di gerai kami, insya-Allah masih mencukupi dan kami berharap dapat terus memenuhi permintaan pelanggan sepanjang musim perayaan kali ini,” ujarnya.
-RI





