Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Permintaan Daun Palas Meningkat Menjelang Syawal

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini (Perlis)

KANGAR, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Permintaan terhadap daun palas di Pasar Besar Sena mula meningkat menjelang Syawal apabila masyarakat mula membuat persiapan awal bagi menyediakan juadah tradisi seperti ketupat palas.

Peniaga gerai buah-bahan di Pasar Besar Sena, di sini Ahmad Hamid, 62, berkata permintaan terhadap daun palas biasanya mula meningkat kira-kira dua minggu sebelum bermulanya bulan puasa dan menjelang hari raya.

Pakcik Ahmad sedang mengikat daun palas.

Menurutnya, setakat ini beliau telah menerima sekitar 4,000 pucuk daun palas daripada pembekal di Kedah dan dijangka menerima tambahan 2,000 pucuk lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Biasanya satu ikatan mengandungi antara empat hingga enam pucuk daun palas yang digunakan untuk membalut ketupat palas,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Sena, di sini semalam.

Menurut Ahmad, pucuk daun palas diperoleh daripada pokok palas yang biasanya tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan.

Gerai Ahmad Hamid terletak di Kedai Buah No. 5 Pasar Besar Sena.

Namun kini, katanya, daun palas semakin sukar ditemui kerana kebanyakannya tidak lagi tumbuh di kawasan tepi hutan seperti dahulu, sebaliknya berada jauh di dalam kawasan hutan berpaya, sekali gus menyukarkan proses mendapatkan bekalan.

“Disebabkan itu, kami bergantung kepada pembekal yang biasa masuk ke kawasan hutan untuk mendapatkan pucuk daun palas sebelum dihantar ke pasar,” katanya.

Tambahnya, permintaan terhadap daun palas dijangka terus meningkat apabila menghampiri Aidilfitri memandangkan ketupat palas merupakan antara hidangan tradisi yang tidak pernah dilupakan terutama ketika musim perayaan.

-RI

Tinggalkan komen anda