
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor bertekad untuk membasmi kemiskinan tegar sepenuhnya tahun ini melalui pelaksanaan pelbagai program kebajikan rakyat yang lebih progresif.

Amirudin bertekad untuk menoktahkan golongan miskin tegar di Selangor tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata matlamat tersebut digerakkan menerusi inisiatif strategik seperti program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Iltizam Selangor Penyayang (ISP) serta bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang berterusan.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyantuni rakyat dalam majlis penyerahan Sumbangan Golongan Rentan di Masjid Al-Taqwa, Selayang Baru, di sini kelmarin.
Seramai 500 orang penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua telah hadir di majlis tersebut.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MBI Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop dan Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz.
Program murni tersebut merupakan inisiatif tahunan kelolaan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) yang bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan di seluruh negeri.

Amirudin bersalam dengan sebahagian 500 penerima sumbangan golongan rentan DUN Sungai Tua.
“Kita mahu kongsikan hasil kejayaan ekonomi negeri Selangor ini agar dapat dirasai secara terus oleh rakyat yang memerlukan melalui program tanggungjawab sosial,” katanya.
Jelasnya, dana sumbangan tersebut adalah hasil daripada keuntungan sektor perniagaan anak syarikat kerajaan negeri serta agihan semula zakat perniagaan yang telah berjaya dikumpulkan.
“Alhamdulillah, nikmat keamanan dan kestabilan negara membolehkan segala aktiviti ibadah serta ekonomi dapat berjalan dengan sangat lancar dan sempurna,” ujarnya.
-RI





