
Laporan/Foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
TAWAU, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Keperluan mempercepatkan pembinaan balai bomba di kawasan Apas Balung wajar diberi perhatian susulan perkembangan pesat penempatan dan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata cadangan itu semakin penting selepas kejadian kebakaran pada 11 Februari yang memusnahkan 18 gerai milik 12 peniaga di Simpang Batu 15, Jalan Apas.
Beliau berkata jarak balai bomba sedia ada dari pusat bandar menyebabkan tempoh tindak balas lebih panjang sekali gus menunjukkan keperluan kemudahan keselamatan kebakaran yang lebih hampir dengan komuniti setempat.
“Pembinaan balai bomba di kawasan Apas Balung telah disenaraikan dalam perancangan pembangunan sebelum ini,” katanya ketika menghadiri Program Bantuan Mangsa Kebakaran di lokasi kejadian pada Isnin lalu.
Nizam berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut demi keselamatan penduduk.
“Saya berharap pihak kerajaan memberi perhatian serius agar ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” katanya.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, beliau berkata langkah susulan akan diambil bagi memperkemas pengurusan kawasan gerai serta memastikan keselamatan masyarakat setempat.
Beliau berkata Majlis Perbandaran Tawau akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya mengenai status gerai yang terletak di rizab jalan.
Nizam berkata langkah itu bagi memastikan pengurusan kawasan lebih tersusun, selamat dan memberi manfaat kepada peniaga serta masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat khususnya di kawasan berisiko supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan kebakaran.
“Masyarakat perlu memberi perhatian kepada pendawaian elektrik, penggunaan dapur gas serta memastikan pembinaan struktur mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau berkata keselamatan rumah dan premis perlu menjadi keutamaan bagi mengelakkan kejadian kebakaran pada masa hadapan.
-RJ-





