
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Setiap kali tibanya bulan Ramadan, Kedai Jahit Anne pasti menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan barang-barang jahitan dan khidmat menjahit pelbagai jenis pakaian untuk sambutan hari raya.
Menurut pemiliknya Keng Moy Fang, 53, permintaan terhadap perkhidmatan jahitan meningkat dengan ketara terutamanya menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
“Saya terpaksa mengambil pekerja sambilan bagi membantu menyiapkan tempahan pelanggan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di sini, baru-baru ini.
Berkongsi kisahnya, wanita yang berasal dari Tandop, Alor Setar itu berkata beliau mengambil keputusan membuka perniagaan di Pendang sedekad lalu kerana ketika itu daerah berkenaan masih belum mempunyai kedai yang menjual peralatan menjahit serta menyediakan perkhidmatan jahitan secara khusus kepada penduduk setempat.

Kedai Jahit Anne turut menawarkan pelbagai barangan kelengkapan jahitan.
“Pada peringkat awal, saya hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, namun berkat sokongan pelanggan dan permintaan yang semakin meningkat, perniagaan ini kini mempunyai 10 orang pekerja serta dilengkapi 10 buah mesin jahit pelbagai jenis,” katanya.
Memulakan perniagaan tersebut dengan modal RM10,000 daripada simpanannya sendiri, Kedai Jahit Anne kini menyediakan pelbagai perkhidmatan jahitan kepada pelanggan termasuk menerima tempahan menjahit pakaian, menjahit tepi pakaian, membuat lubang butang baju, jahitan sulaman serta kerja-kerja mengubah suai pakaian mengikut kehendak pelanggan.

Pekerja Moy giat berusaha menyiapkan tempahan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Kini, beliau memaklumkan antara cabaran utama yang dihadapinya ialah kekangan kawasan meletak kereta yang terhad dan sempit di sekitar premis perniagaan tersebut.
Sehubungan itu, Moy Fang merancang untuk mengembangkan perniagaannya pada tahun hadapan dengan membuka sebuah lagi kedai di kawasan Tanah Merah, di sini bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Langkah tersebut diharap bukan sahaja dapat memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan jahitan berkualiti, malah terus memperkukuh peranan Kedai Jahit Anne sebagai antara nadi penting perkhidmatan jahitan kepada komuniti di daerah ini.
-RI





