
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan di sekitar daerah ini bukan sahaja berpeluang mendapatkan juadah berbuka puasa, malah turut didedahkan dengan kepentingan keselamatan Internet melalui Kempen Internet Selamat (KIS) 2026 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Orang ramai mendapatkan maklumat di reruai pameran khas MCMC.
Kempen yang diadakan di reruai khas itu mendapat sambutan menggalakkan pengunjung bazar yang mengambil peluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif berkaitan keselamatan penggunaan internet.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk sesi interaktif keselamatan Internet, permainan digital pendidikan serta edaran Kit Ramadan secara percuma kepada pengunjung yang hadir.
Menurut seorang penerima Kit Ramadan, Nur Aisyah Mohd Salleh, 32, program seumpama ini amat bermanfaat terutama kepada ibu bapa dalam memahami risiko penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak.

Peniaga di Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar turut menyertai kempen Internet Selamat dengan menjawab soalan dalam talian yang disediakan MCMC.
“Program ini sangat bagus kerana sambil membeli juadah berbuka, pengunjung juga dapat belajar cara melindungi diri dan keluarga daripada ancaman penipuan dalam talian serta penggunaan Internet yang tidak selamat,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Tambahnya lagi, pendedahan seperti ini penting kerana ramai pengguna Internet terutama golongan muda sering terdedah kepada risiko seperti penipuan siber dan penyalahgunaan media sosial.
-RI





