
Laporan/foto: Zatul Iffah Wahab/Kubendiran (Kulim)
KULIM, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Berbuka Puasa bersama warga keselamatan dan masyarakat setempat di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, semalam.
Anwar sebelum itu meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung di Bazar Ramadan Taman Selasih.
Ketibaan Perdana Menteri itu disambut meriah peniaga dan orang ramai yang tidak melepaskan peluang bertemu dan bersalaman dengan beliau.
Pada majlis tersebut, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM18 juta bagi kerja-kerja baik pulih kem berkenaan.
Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan bekalan air manakala RM8 juta lagi bagi pendawaian elektrik, yang bertujuan meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan anggota keselamatan yang bertugas di kem berkenaan.
Selain itu, kerajaan juga katanya meluluskan peruntukan sebanyak RM2.69 juta bagi membantu pembangunan institusi pondok dan tahfiz di negeri Kedah sebagai usaha memperkukuh pendidikan Islam serta meningkatkan kebajikan para pelajar di institusi tersebut.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program berkenaan merupakan antara pendekatan kerajaan mendekati masyarakat secara lebih dekat selain mengeratkan hubungan antara pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat.
“Program berbuka puasa bersama komuniti seperti ini memberi ruang kepada kerajaan untuk mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat setempat,” katanya.
-FN





