Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKISPerlis

Keselamatan Internet Tanggungjawab Seluruh Komuniti

By 9 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat (Perlis)

ARAU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Keselamatan Internet bukan hanya tanggungjawab individu, sebaliknya memerlukan peranan seluruh komuniti termasuk ibu bapa dan pendidik, kata Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Perlis Norrazlina Nordin.

Pengarah SKMM Negeri Perlis memberi penjelasan kepada pengunjung.

Beliau berkata usaha mendidik generasi muda kekal menjadi tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat meskipun penggunaan gajet oleh golongan kecil semakin berkembang.

“Penggunaan gajet tidak seharusnya menggantikan peranan ibu bapa dan masyarakat dalam mendidik generasi muda. Gajet bukan pengasuh, sebaliknya hanya alat teknologi yang perlu digunakan secara bijak dan terkawal,” katanya pada Kempen Internet Selamat (KIS) @ Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Arau, Sabtu lalu.

Beliau berkata pihaknya mahu mendidik masyarakat supaya lebih celik digital serta memahami risiko yang wujud di alam siber melalui kempen berkenaan.

MCMC kini mempergiatkan usaha dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan Internet melalui pendekatan turun padang bagi mendekati masyarakat secara langsung, khususnya komuniti setempat yang berkunjung di bazar Ramadan.

Pengunjung yang hadir menjawab kuiz bagi menguji tahap pemahaman berkaitan Kempen Internet Selamat.

Antara pengisian program termasuk pembukaan reruai advokasi MCMC, pengedaran Kit Ramadan berkaitan keselamatan Internet serta sesi interaksi bersama pengunjung.

Pengunjung bazar turut dijemput menyertai inisiatif Wira Internet Selamat (WIS) sebagai rangkaian pendokong keselamatan digital di peringkat komuniti, selain menerima bahan pendidikan dan promosi keselamatan Internet.

Program seumpama ini diharap dapat memperkukuh kesedaran keselamatan digital serta melahirkan lebih ramai pendokong keselamatan Internet dalam komuniti.

-RI

Tinggalkan komen anda