Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lelaki Ditahan Miliki Dadah Disyaki Curi Kabel Telekomunikasi

By 12 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (JAPEN Mukah)/IPD Mukah

MUKAH, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah serta terlibat dalam kegiatan mencuri kabel tembaga di kawasan menara syarikat telekomunikasi berhampiran Jalan Mukah–Balingian, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata suspek ditahan kira-kira jam 1.45 tengah hari ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Kenderaan Kancil milik suspek turut diperiksa dan ditahan oleh polis ketika tangkapan dilakukan.

“Suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran menara telekomunikasi cuba melarikan diri ke kawasan hutan selepas menyedari kehadiran polis namun berjaya diberkas oleh anggota bertugas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

“Pemeriksaan badan mendapati suspek memiliki satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar kira-kira 0.34 gram,” katanya.

Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan Perodua Kancil milik suspek yang diletakkan berhampiran menara telekomunikasi menemui tiga gulung wayar tembaga serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memotong kabel.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Barang-barang yang ditemui di dalam kenderaan kereta kancil milik suspek.

Dalam perkembangan sama seorang juruteknik syarikat telekomunikasi berusia 44 tahun tampil membuat laporan polis pada hari yang sama berhubung kehilangan kabel tembaga di menara telekomunikasi di kawasan Mukah.

Polis percaya kabel tembaga yang ditemui dalam kenderaan suspek mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Muhamad Rizal berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek kini direman selama dua hari sehingga 14 Mac 2026 bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu membanteras kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan perkhidmatan komunikasi dan kemudahan awam.

-RJ-

Tinggalkan komen anda