
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Program Walking Message Anti Dadah dan Substance diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Sri Aman bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah, di sini semalam.
Program julung kali anjuran Jawatankuasa OSC MIDS Daerah Sri Aman dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) itu menggunakan pendekatan turun padang dan agihan risalah secara terus kepada masyarakat setempat.

Barisan kepimpinan agensi penguatkuasa dan jabatan kerajaan, termasuk wakil AADK dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), bergambar bersama sebagai simbolik kerjasama utuh dalam misi membina Sri Aman bebas dadah.
Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang berkata pendekatan tersebut berkesan dalam menyampaikan mesej pencegahan dadah secara langsung kepada komuniti.
“Program ini bukan sekadar memberi maklumat tetapi mendekatkan masyarakat dengan pihak berkuasa untuk bersama-sama menangkis ancaman bahan terlarang,” katanya ketika ditemui pada program Walking Message Anti Dadah dan Substance di Pejabat Daerah Sri Aman, di sini semalam.
“Kesedaran tinggi dalam komuniti akan memperkukuh usaha pencegahan secara menyeluruh khususnya dalam membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Sebanyak 100 beg PEMADAM yang mengandungi risalah maklumat pencegahan diagihkan kepada orang ramai bagi memudahkan akses maklumat berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah.
Ketua Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman ASP Mohd Affei Faes berkata pendidikan awam perlu diperkukuh selain penguatkuasaan bagi memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan gejala dadah.

ASP Mohd Affei Faes turut serta turun padang bagi memberikan penerangan ringkas mengenai impak negatif dadah kepada individu dan komuniti.
Program tersebut turut disokong pelbagai agensi termasuk wakil Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan Sri Aman Hadi Aiee dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Angela Sulli Edwin.
-RJ-





