
Laporan/Foto: Asri Dalim (Lawas)
LAWAS, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) di bawah Jabatan Perdana Menteri mengadakan sesi taklimat khas kepada penjawat awam di Wisma Persekutuan Lawas bagi memberi penerangan mengenai kemudahan perlindungan kesihatan kepada kakitangan kerajaan.
Taklimat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Wisma Persekutuan Lawas, semalam memberi fokus kepada Kad Perubatan Keluarga MAKSAK, Skim Ikhtiar dan Medic Care yang diperkenalkan khusus untuk penjawat awam.
Sesi penerangan disampaikan oleh wakil MAKSAK Miri, Naomi David, yang menjelaskan kemudahan perlindungan kesihatan melalui kad perubatan Medic Care yang membolehkan penjawat awam mendapatkan rawatan di hospital dan klinik panel.

Naomi (berdiri) menjelaskan kemudahan perlindungan kesihatan melalui kad perubatan Medic Care yang membolehkan penjawat awam mendapatkan rawatan di hospital dan klinik panel.
“Perlindungan kesihatan bukan untuk hari ini sahaja tetapi amat diperlukan sepanjang hayat terutama ketika berdepan kecemasan atau penyakit yang tidak diduga,” katanya.
Naomi berkata kemudahan tersebut mampu membantu menampung kos rawatan sekali gus meringankan beban kewangan penjawat awam dan keluarga mereka.
Sementara itu, wakil kakitangan Wisma Persekutuan Lawas, Yusimah Matusop, merakamkan penghargaan kepada pihak MAKSAK atas inisiatif memperkenalkan skim perlindungan kesihatan kepada penjawat awam.
“Skim perlindungan kesihatan ini memberi banyak manfaat kepada penjawat awam khususnya dalam membantu meringankan kos rawatan perubatan serta menjamin kesejahteraan kesihatan diri dan keluarga,” katanya.
Penganjuran sesi taklimat tersebut turut memberi pendedahan lebih jelas kepada penjawat awam mengenai kepentingan perlindungan kesihatan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
-RJ-





