
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Ahmad Nur Zahidi (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 1,598 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang menerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) dalam satu majlis yang diadakan sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Johor di Masjid An-Nur Kampung Bahru Senggarang, malam tadi.

Dato’ Onn Hafiz ketika menyampaikan ucapan
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,463 orang merupakan penjawat awam Persekutuan, manakala 107 orang adalah penerima kategori e-Kasih dan 28 orang lagi terdiri daripada Ketua Kampung serta Ketua Masyarakat.
Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata pelaksanaan program BKJ dapat direalisasikan hasil peningkatan kutipan zakat serta hasil pihak berkuasa tempatan di negeri ini.
Menurut beliau, Johor turut mencatatkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara dengan nilai keseluruhan sebanyak RM110 bilion yang membuka lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Datuk Onn Hafiz Ghazi menyerahkan bantuan secara simbolik sambil beramah mesra dengan penduduk
“Apabila pelabur-pelabur ini masuk ke Johor, hasil dapatan cukai negeri akan meningkat. Setiap hasil negeri yang meningkat itu menjadi tanggungjawab kepada para pemimpin untuk memulangkannya kembali kepada Bangsa Johor terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, BKJ kini memasuki fasa ketiga yang akan memberi tumpuan kepada golongan anak yatim, pesakit kronik dan ibu tunggal, dengan jumlah ibu tunggal yang berdaftar di Johor setakat ini mencecah 80,000 orang.
-AA-





