Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Majmuk Tarik Lebih 170 Peserta

By 15 Mac 2026Mac 16th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Program Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Majmuk 2026 yang diadakan di Masjid Alwi, Kangar mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 170 peserta hadir terdiri daripada individu bukan Muslim serta golongan mualaf, kelmarin.

Dialog agama bersama Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin turut diadakan

Ketua Pegawai Eksekutif Wisdom Outreach Centre, Marcellus Mourine berkata, program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali dengan lebih dekat amalan ibadat umat Islam, khususnya ibadah berpuasa pada bulan Ramadan.

Menurut beliau, melalui program tersebut para peserta juga berpeluang mengemukakan pelbagai soalan berkaitan agama Islam menerusi sesi dialog yang diadakan bagi meningkatkan kefahaman serta menggalakkan interaksi yang harmoni antara masyarakat berbilang agama.

“Diharapkan melalui sesi dialog dan majlis berbuka puasa bersama ini, para peserta dapat memahami maklumat yang disampaikan serta merasai sendiri suasana keharmonian apabila berbuka puasa bersama masyarakat Muslim,” katanya.

Antara masyarakat bukan muslim yang hadir berbuka puasa bersama masyarakat muslim di Masjid Alwi

Program itu turut mencatat peningkatan penyertaan berbanding tahun lalu dengan kehadiran lebih 170 peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi serta wakil persatuan bukan Islam dari dalam dan luar negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.

Pada tahun ini, program berkenaan menampilkan sedikit kelainan apabila bukan sahaja diadakan dialog harmoni bersama Mufti Perlis, malah turut menampilkan tiga orang panel daripada latar belakang agama berbeza yang membincangkan aspek keharmonian antara agama dan bangsa.

Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Perlis turut menyampaikan sumbangan zakat kepada beberapa individu bukan Muslim sebagai sebahagian usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda