Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Juadah Ramadan MADANI Santuni Petugas HTAA

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Program Juadah Ramadan MADANI Apresiasi Barisan Hadapan yang diadakan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjadi simbol penghargaan kepada petugas kesihatan yang terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Farhan turut menyampaikan juadah kepada petugas di Dewan Bersalin Risiko Rendah

Sumbangan telah disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Farhan Fauzi kepada petugas pelbagai jawatan di hospital berkenaan pada Khamis.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menyantuni serta menghargai pengorbanan warga kesihatan yang tetap menjalankan tugas tanpa mengira masa demi memastikan kesejahteraan pesakit sentiasa terpelihara.

Menurut Ketua Jururawat HTAA Noraini Abdul Latif, 50, program seumpama ini amat bermakna buat petugas kesihatan kerana ia menunjukkan keprihatinan masyarakat terhadap pengorbanan mereka.

“Walaupun bertugas ketika Ramadan, sokongan dan penghargaan seperti ini memberi semangat kepada kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Dr. Nurul Ayu Izzati Aziz, 33, berkata program tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pihak hospital dan masyarakat, malah meningkatkan motivasi barisan hadapan yang bertugas.

Dr Nurul Ayu Izzati Aziz (kanan) dan rakan setugasnya Dr Nur Izzah Fatimah Azizah Mohd Shakir gembira menerima sumbangan tersebut

“Apabila ada pihak yang datang menyantuni dan menghargai kami, ia memberikan suntikan semangat untuk terus menjalankan tanggungjawab walaupun dalam keadaan jadual kerja yang padat,” ujarnya.

Bagi seorang lagi Pegawai Perubatan Dr. Nur Izzah Fatimah Azizah Mohd Shakir, 36, penghargaan yang diberikan menerusi program tersebut menjadi tanda sokongan moral kepada petugas kesihatan yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah.

Program berkenaan turut menyaksikan pengagihan juadah berbuka puasa kepada petugas kesihatan yang sedang bertugas di beberapa wad serta unit perkhidmatan di hospital tersebut.

Inisiatif itu sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam menyantuni golongan yang berkorban masa serta tenaga demi kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Pahang, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

-AA-

Tinggalkan komen anda