
Laporan/foto: Suhaime Sahirul (Sipitang)
SIPITANG, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Khatam al-Quran boleh dijadikan platform memupuk nilai mencintai dan mendalami ayat suci al-Quran serta mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sipitang Daut Kassim, 69, berkata majlis tersebut berperanan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti keagamaan dan sosial di komuniti.
“Semoga majlis sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang khususnya bagi warga emas dan ahli PAWE,” katanya ketika ditemui di Masjid Haji Abdullah, Kampung Lumut Sipitang, kelmarin.
Daut menjelaskan aktiviti tersebut bukan sahaja memberi peluang untuk berkumpul tetapi juga memperkukuh silaturahim dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat.
Beliau berkata program itu memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman serta menimba ilmu keagamaan.
Penasihat Masjid Kampung Haji Abdullah Kasim Karim, 65, pula berkata pihak masjid sentiasa mengalu-alukan program yang melibatkan komuniti.
“Majlis sebegini bukan sahaja mengajak orang ramai mengamalkan isi kandungan al-Quran bahkan mampu menghimpunkan masyarakat setempat,” katanya.
Kasim menjelaskan program berimpak tinggi itu mampu mengukuhkan ummah serta mengajak orang awam untuk mengimarahkan masjid.
Program anjuran bersama PAWE Sipitang dan Skuad Anti Dadah Daerah Sipitang itu turut diserikan dengan tazkirah serta majlis iftar bersama komuniti setempat.
-RJ-





