Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

MCMC Sekat 70,122 Talian Disalah Guna, Hadkan Pemilikan SIM Kad Warga Asing

By 8 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Komala Rajan (Johor)

KULAI, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menamatkan sebanyak 70,122 talian perkhidmatan yang dikesan disalah guna bagi aktiviti meragukan, termasuk penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) penipuan (scam) sepanjang tahun 2025.

Program khidmat masyarakat di Bazar Ramadan Temenggong bertujuan memperkasa literasi digital dalam masyarakat bagi mengukuhkan benteng pertahanan ancaman penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata angka tersebut menunjukkan peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding  7,409 talian yang ditamatkan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Beliau menegaskan susulan perkembangan peningkatan tersebut, Kementerian Komunikasi menerusi MCMC telah mengemas kini garis panduan pendaftaran kad SIM prabayar khususnya bagi warga asing dan pelancong untuk membendung aktiviti jenayah siber.

“Bermula sekarang, pelancong asing hanya dibenarkan melanggan maksimum dua kad SIM prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi (telko), berbanding lima kad sebelum ini.

“Selain itu, tempoh sah laku kad SIM prabayar bagi golongan ini juga akan ditamatkan secara automatik selepas tiga bulan bagi mengelakkan penyalahgunaan talian untuk aktiviti penipuan selepas mereka meninggalkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Kempen Internet Selamat (KIS) di Bazar Ramadan Temenggong, di sini semalam.

Kementerian Komunikasi menerusi MCMC memperketat garis panduan pendaftaran kad SIM prabayar warga asing bagi membendung jenayah siber.

Mengulas lanjut mengenai ketegasan MCMC sebagai badan kawal selia, Teo memaklumkan bahawa prosedur pendaftaran kad SIM kini diperketatkan bagi mengelakkan manipulasi data peribadi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“MCMC akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana syarikat telko atau pengedar yang gagal mematuhi garis panduan pendaftaran baharu ini,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan (ADUN) Senai Wong Bor Yang, Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Ts. Rizal Abd Malek dan Pengarah MCMC Negeri Johor Syed Isa Alsagoff.

-RI

Tinggalkan komen anda