
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Khairul Annuar (Johor)
JOHOR BAHRU, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 30 buah keluarga dari Flat Larkin dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah melibatkan kira-kira 130 kanak-kanak dan ibu tunggal menerima manfaat melalui penganjuran Program Bazar Raya RM1, di sini semalam.

Penerima sumbangan juga boleh memilih sendiri jenis dan warna baju raya dari pelbagai pilihan baju yang disediakan walaupun hanya perlu membayar RM1.
Program unik anjuran Chasing Barakah Reverwence (C.B.R) itu menyaksikan penglibatan aktif usahawan bumiputera tempatan yang menyumbangkan pelbagai barangan keperluan untuk dijual pada harga simbolik RM1, selain pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan ibu tunggal.
Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Kempas Dato’ Abd Rashid Kasman berkata inisiatif tersebut merupakan platform terbaik dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Apa yang membanggakan saya adalah penglibatan usahawan-usahawan muda yang mempunyai hati nurani untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Hasil jualan RM1 ini juga akan ditukarkan kepada mata wang Rupiah untuk disalurkan sebagai bantuan kepada mangsa banjir di Aceh,” katanya selepas merasmikan program.

Kanak-kanak yang hadir turut menerima sumbangan duit raya sempena program Bazar Raya RM1 anjuran Chasing Barakah Reverence.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor (PIJ) Malaysia Farrah Faridah Baptist menjelaskan bahawa konsep jualan RM1 itu diperkenalkan bagi memberi ruang kepada penerima untuk memilih sendiri barangan mengikut keperluan masing-masing, sekali gus memelihara kehormatan mereka.
“Program ini istimewa kerana ia bukan sekadar pemberian percuma, tetapi kita memberi peluang kepada mereka untuk ‘membeli’ dan ini adalah hasil inisiatif 30 rakan kerjasama yang terdiri daripada usahawan-usahawan di Johor Bahru yang ingin berbakti.
“Antara barangan yang ditawarkan termasuklah baju raya, lampu hiasan, biskut raya selain barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, santan dan air cordial,” ujarnya.
Menurut Farrah, hasil jualan tersebut akan disalurkan melalui Misi Kemanusiaan Aceh 4.0 PIJ pada 14 hingga 18 Mac ini bagi membantu anak yatim serta mangsa banjir di wilayah berkenaan sempena 10 malam terakhir Ramadan.
-RI





