
Laporan/Foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Semangat keprihatinan dan nilai kemanusiaan terus dipupuk dalam kalangan generasi muda apabila Unit Hal Ehwal Pelatih Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) Lundu menganjurkan Program Infaq Kasih Ramadan sempena bulan Ramadan.
Program tersebut melibatkan penyertaan sembilan pegawai dan 30 pelatih yang turun padang menyantuni masyarakat setempat dengan menyalurkan sumbangan kepada 15 golongan asnaf dari Kampung Tembaga Melayu, Kampung Tanah Hitam dan Kampung Sekambal.

Mohd Hazizan (empat kiri) bersama-sama dengan pelatih CENTEXS Lundu dalam program Infaq Ramadan untuk diberikan kepada golongan asnaf.
Pengurus CENTEXS Lundu, Mohd Hazizan Hakim, berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu golongan memerlukan tetapi juga menjadi platform kepada pelatih menghayati nilai empati dan tanggungjawab sosial.
“Program seperti ini memberi peluang kepada para pelatih turun padang melihat sendiri keadaan masyarakat serta memahami kepentingan berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini pada Rabu.
Mohd Hazizan berkata program berkenaan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak institusi dan komuniti setempat.
Beliau berharap program kebajikan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menyemai nilai kemanusiaan dan semangat prihatin dalam kalangan generasi muda.
-RJ-





