
Laporan/Foto: Kamarulzaman Ahmad/Mohammad Izwan (Dalat)
DALAT, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 terus membantu meringankan kos sara hidup rakyat apabila program tersebut dilancarkan di Dewan Kompleks Kebajikan Dalat pada Rabu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Dalam ucapannya, beliau berkata pelaksanaan SKAS yang diteruskan tahun ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup.
“Program ini merupakan bantuan kewangan bersasar yang dipertingkatkan jumlahnya tahun ini bagi memastikan ia selaras dengan keperluan ekonomi semasa,” katanya.
Fatimah berkata bantuan tersebut khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi kos perbelanjaan harian.
Bantuan disalurkan dalam bentuk kredit atau baucar digital melalui aplikasi SPay Global yang membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas.
Beliau turut mengingatkan penerima supaya tidak menukar bantuan SKAS kepada wang tunai dan menggunakan sepenuhnya untuk pembelian barangan keperluan harian.
Sementara itu, salah seorang penerima, Azwan Mohamad, 31, menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang disifatkan membantu meringankan perbelanjaan harian.
“Bantuan ini amat membantu dalam menyediakan barangan keperluan harian dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Pada majlis sama turut diadakan penyampaian peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1 tahun 2026 sempena Program Ziarah Ramadan serta agihan zakat kepada 282 penerima di daerah Dalat.
Turut hadir Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng, wakil Residen Bahagian Mukah, Josy Demei, Temenggong Bahagian Mukah, Hendi Suhai serta ketua jabatan dan ketua masyarakat setempat.
-RJ-





